lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 3,300 asnaf dan fakir miskin dari 11 Parlimen di bandar raya ini menerima wang zakat bernilai RM300,000 dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada Program Nur Ramadan peringkat Kuala Lumpur, hari ini.
Sumbangan itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dalam program yang diadakan di Masjid Saidina Hamzah Kampung Batu Muda, di sini.
Beliau berkata, 300 asnaf termasuk anak-anak yatim, warga emas, ibu tunggal, OKU dan mereka yang kurang berkemampuan menerima wang tunai RM200 setiap orang, manakala baki 3,000 penerima lagi menerima agihan sumbangan secara berperingkat.
“Pemilihan penerima sumbangan ini dipilih melalui senarai asnaf yang berdaftar dengan MAIWP, sistem e-Kasih dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kategori asnaf yang dipilih juga termasuk golongan fakir, miskin, al-gharimin, al-riqab, fisabillah dan muallaf,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.
Dr Zaliha berkata, kerajaan Madani konsisten memastikan tiada rakyat di negara ini khususnya di Wilayah Persekutuan yang tercicir mahupun yang terpinggir dari arus pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf hidup.
“Program yang kita laksanakan saban tahun ini adalah antara manifestasi nyata kepedulian kerajaan terhadap rakyat yang memerlukan, menerusi flagship program kita di Wilayah Persekutuan iaitu Program Usaha Jaya Insani (PUJI).
“Ini adalah bukti jelas kerajaan Madani sentiasa berpegang pada prinsip keadilan kepada rakyat dan bantuan yang diagihkan tepat kepada golongan yang berhak,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan turut menyumbangkan RM5,000 kepada Masjid Saidina Hamzah bagi membantu menaik taraf fasiliti masjid untuk memberi keselesaan kepada komuniti beribadah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




