am@hmetro.com.my
Kajang: Seramai 3,333 pegawai ditauliahkan dalam Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) sejak 2010 sekali gus membuktikan kesinambungan dan kepentingan program itu dalam membangunkan kapasiti pegawai integriti secara sistematik dan berstruktur.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, sejak program itu diperkenalkan pada 2010, ia berkembang sebagai salah satu insiatif utama negara dalam memperkukuh ekosistem integriti dan tadbir urus.
Katanya, pihaknya melalui Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia(MACA) komited memastikan kelangsungan program CeIO bukan sekadar kuantiti pengeluaran graduan tetapi turut mementingkan kualiti, kerelevanan dan impak terhadap sistem tadbir urus negara.
“Dalam landskap pentadbiran yang semakin kompleks, CeIO perlu terus diperkasa supaya mampu berfungsi secara adaptif, responsif dan berkesan dalam menyokong usaha pencegahan rasuah secara sistematik,” katanya pada Majlis Konvokesyen CeIO Ke-12 di Bangi di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan, 486 graduan terdiri daripada 283 pegawai sektor awam, 111 pegawai daripada Syarikat berkepentingan Kerajaan (SBK) dan 92 sektor swasta berjaya ditauliahkan, hari ini.
Azam berkata, program itu dirangka secara komprehensif bagi memastikan peserta bukan sahaja memahami aspek perundangan dan pematuhan.
Katanya, ia malah berkeupayaan melaksanakan fungsi pencegahan rasuah, pengurusan integriti serta memberi khidmat nasihat tadbir urus secara efektif.
“Hasilnya, graduan CelO mampu menyumbang kepada pengukuhan kawalan dalaman serta pembudayaan nilai integriti yang lebih menyeluruh dalam organisasi,” katanya
Katanya, MACA membangunkan Arahan Perdana Menteri Tahun 2026 yang baharu bagi program CeIO untuk menggantikan arahan terdahulu dalam memastikan program itu terus relevan dengan agenda nasional serta meningkatkan kecekapan sistem penyampaian.
Menurutnya, arahan baharu itu yang sudah dipersetujui secara prinsip dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) pada 12 Mac lalu, memperincikan semula keseluruhan kerangka pelaksanaan CeIO merangkumi penambahbaikan objektif program serta penyelarasan fungsi dengan Unit Integriti (UI) dan Unit Integriti dan Governans (IGU).
Sementara itu, Azam berkata, cabaran utama perkhidmatan awam masa kini bukan lagi kekurangan dasar atau perancangan, tetapi keupayaan memastikan setiap keputusan dilaksanakan dengan berkesan serta memberi impak nyata kepada rakyat.
Menurutnya, jurang antara keputusan dan pelaksanaan perlu ditangani secara serius bagi membina sistem pentadbiran yang berfungsi, responsif dan dipercayai.
“Dalam banyak keadaan, inisiatif dilancarkan dan pelan dirangka, namun pelaksanaannya tidak disempurnakan sepenuhnya.
“Kelemahan ini bukan sahaja menjejaskan keberkesanan dasar, malah boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan perkhidmatan awam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



