336 keluarga bakal terima bantuan Musa'adah COVID-19

bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Sebanyak 366 keluarga bakal menerima bantuan yang akan disalurkan daripada sumbangan yang diraih menerusi kerjasama antara Kelab Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dengan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Bahagian Media dan Teknologi Dakwah YADIM dalam kenyataan berkata, sumbangan RM100,000 itu hasil kutipan ahli kelab dan kakitangan Bank Islam melalui Tabung Amal Jariah kepada YADIM untuk kegunaan Program Musa’adah COVID-19 bagi membantu rakyat yang memerlukan.

Program pertama hasil kerjasama itu dilaksanakan di Terminal LRT Putra Gombak, membabitkan seramai 52 pemandu teksi yang menerima sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai RM250 secara pandu lalu.

Program itu akan diperluaskan ke seluruh negara membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Sabah dan Johor yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Selain pemandu teksi, golongan penerima manfaat terdiri daripada pengayuh beca, seniman jalanan, keluarga B40, pesakit kritikal dan Orang Kurang Upaya (OKU) membabitkan pelbagai bangsa dan agama.

“Sebelum ini, Bank Islam menyalurkan pelbagai bantuan bawah program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) yang dikenali sebagai AMAL, platform pendanaan awam Sadaqa House dan zakat wakalah berjumlah RM4 juta yang diadakan sejak Januari hingga Ogos 2021, termasuk Inisiatif Prihatin COVID-19.

“Tahun lalu syarikat induk Bank Islam, BIMB Holdings Berhad turut menyumbang RM1 juta kepada Tabung Musa’adah COVID-19 bagi membantu golongan yang terkesan akibat pandemik ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd