am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Lebih RM330,000 dilaporkan lesap selepas sekurang-kurangnya 34 individu mendakwa menjadi mangsa penipuan ejen sebuah syarikat pengendali pelancongan yang menjanjikan percutian ke China.
Mangsa didakwa diperdaya ejen syarikat terbabit yang melarikan diri tanpa menunaikan pakej dijanjikan dan polis kini memburu dua wanita dikenali sebagai Low Siew Hwa, beralamat di Jalan Jayamas 9, Taman Nusajaya Mas serta Lim Zhi Xuan, beralamat di Jalan Indah 11/5, Garden Villas, Bukit Indah, Johor bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata, pihaknya mula menerima laporan berkaitan kes itu sejak akhir April lalu dengan jumlah kerugian membabitkan RM338,080.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi suspek apabila hampir tiba tarikh penerbangan yang dijadualkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan dan usaha mengesan individu berkaitan sedang giat dilaksanakan bagi membantu siasatan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan membuat semakan latar belakang mana-mana ejen atau syarikat pelancongan sebelum membuat sebarang bayaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd