34 pelajar, murid rentas sempadan secara haram dibebaskan

34 pelajar, murid rentas sempadan secara haram dibebaskan

nfazlina@nstp.com.my

Pasir Mas: Kesemua 34 pelajar dan murid yang ditahan selepas merentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok bersempadan Rantau Panjang, pada Ahad dibebaskan dengan jaminan polis.

Kesemua mereka berusia tujuh hingga 16 tahun dibebaskan pada 11.30 malam tadi.

Wakil keluarga ketika ditemui berkata, selepas ditahan, pelajar dan murid terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

“Kami dimaklumkan semua ibu bapa boleh membawa pulang anak masing-masing dan perlu menandatangani borang (pelepasan dengan jaminan).

“Setakat jam 11.30 malam belasan pelajar sudah selesai dan (proses) dilakukan secara berperingkat.

“Kami juga dimaklumkan anak-anak tidak perlu dibawa ke mahkamah esok,” katanya.

Tinjauan mendapati perkarangan IPD Pasir Mas dipenuhi keluarga pelajar dan murid yang ditahan bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung anak mereka.

Difahamkan, selain keluarga pelajar, guru sekolah yang terbabit juga berada di IPD berkenaan.

Terdahulu media melaporkan, seramai 34 pelajar dan murid dari Thailand ditahan ketika melakukan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram Jambu untuk ke sekolah di Rantau Panjang, pagi tadi.

Kesemua mereka ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) pada 6.30 pagi dan disahkan warga Malaysia namun menetap di Thailand.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top