suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas 34 tahun menyimpan rasa bersalah kerana pernah termuntah atas kepala seorang lelaki dalam bas, seorang usahawan berasal dari Puchong, Kuala Lumpur, akhirnya nekad membuat hantaran di media sosial untuk mencari ‘mangsa’ kejadian memalukan itu.
Hantaran berkenaan tular di Facebook apabila menerima pelbagai reaksi warganet dengan 534 perkongsian selain ratusan komen dan ribuan reaksi yang rata-rata terhibur, terkejut malah ada yang sebak dengan kisah tersebut.
Berkongsi kisah itu, Mohd Fadzil Hashim, 49, berkata dia sudah lama menyimpan hasrat untuk mencari semula individu berkenaan bagi memohon maaf.
“Saya memang mencari seorang lelaki yang kena muntah tahun 1991 dalam Bas Nombor 55 Kuala Lumpur-Puchong. Sudah lama berhasrat untuk cari tapi tak tahu macam mana.
“Kejadian berlaku pada malam sambutan tahun baru 31 Disember 1991 ketika berusia 15 tahun dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu 11, Puchong.
“Masa tu saya dan kawan turun Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, kononnya ingin sambut Tahun Baru, selain melihat persembahan Ziana Zain menyanyi pada malam itu” katanya kepada Harian Metro.
Katanya, ketika itu dia mula berasa tidak sihat lalu membuat keputusan untuk pulang lebih awal.
“Saya beritahu kepada kawan yang ingin balik dahulu. Kepala pening sangat. Jadi saya jalan ke Hentian Klang untuk tunggu bas balik Puchong,” katanya.
Katanya, kebanyakan bas penuh sesak menyebabkan dia terlepas beberapa kali sebelum akhirnya dapat menaiki bas terakhir sekitar jam 12 tengah malam.
“Bas memang penuh gila, saya kena berdiri berhimpit. Kepala makin pening, rasa macam nak muntah. Saya cuba tahan,” katanya.
Bagaimanapun, apabila bas sampai di kawasan Batu 6, dia sudah tidak mampu bertahan.
“Saya termuntah atas kepala seorang abang dalam bas tu. Memang tak dapat nak elak, habis kepala dia terkena. Dia pun terperanjat,” katanya.
Katanya, suasana dalam bas menjadi senyap seketika sebelum penumpang lain menghulurkan surat khabar untuk lelaki itu membersihkan kepalanya.
“Tak ada siapa marah. Abang itu pun tak marah, dia diam saja. Saya buat muka kesian sahaja sebab nak turun rumah jauh lagi. Pasrah sajalah,” katanya
.
Fadzil berkata, walaupun lelaki berkenaan tidak menunjukkan kemarahan, dia tetap menanggung rasa bersalah sehingga kini.
“Sejak dulu saya teringin sangat nak jumpa dia balik, nak minta maaf depan-depan. Sampai sekarang saya masih ingat peristiwa tu,” katanya.
Dalam pada itu, dia berharap, dengan tularnya hantaran berkenaan, ada pihak yang mengenali lelaki tersebut dapat menghubungkannya semula.
“Semoga Allah beri keselamatan kepada abang tu. Mohon kawan-kawan bantu kongsi. Kalau ada yang kenal, boleh mesej saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd