340 koperasi dalam 'radar' pembersihan SKM Negeri Sembilan

340 koperasi dalam 'radar' pembersihan SKM Negeri Sembilan

am@hmetro.com.my

Jelebu: Ratusan koperasi di Negeri Sembilan dalam ‘radar’ pembersihan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kerana gagal berfungsi dan tidak lagi menjalankan sebarang aktiviti perniagaan.

Statistik menunjukkan sebanyak 340 koperasi berdaftar di negeri ini dikategorikan sebagai tidak aktif, sekali gus berisiko dibatalkan pendaftaran.

Pengarah SKM Negeri Sembilan, Radiatul Fitri Dollah berkata, ketika ini terdapat 768 koperasi berdaftar dengan SKM dengan koperasi menjalankan pelbagai jenis aktiviti perniagaan seperti perkhidmatan, perladangan, peruncitan, pengangkutan dan pelancongan.

Katanya, Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Gugusan Lakai Negeri Sembilan Berhad antara koperasi paling berjaya di negeri ini malah tersenarai dalam senarai 100 koperasi terbaik 2025.

“Koperasi yang dikategori tidak aktif berisiko tinggi berdepan tindakan pemutihan atau pembatalan pendaftaran oleh SKM.

“Kebiasaan koperasi kategori ini tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan, tidak mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan akaun tidak diaudit.

“Jika keadaan ini berlarutan bagi tempoh lebih tiga tahun, koperasi berdepan tindakan pembatalan,” katanya ditemui pada program Pembudayaan Eko Pelancongan Koperasi di Tapak Arkeologi Gua Pelangi di FELDA Pasoh Empat di sini, semalam.

Program dirasmikan oleh Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad. Hadir sama Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Aziz Mohd Gorip dan Ketua Polis Daerah Jelebu Superintendan Azizan Said.

Radiatul Fitri berkata kelemahan pentadbiran, kegagalan mentadbir perniagaan secara konsisten, anggota kebanyakan warga emas dan kebergantungan kepada bantuan kerajaan antara faktor koperasi tidak aktif.

Katanya, terdapat juga koperasi yang tidak aktif namun berpotensi untuk dipulihkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top