KANO: Seramai 35 orang terbunuh termasuk lima anggota tentera dan 15 militia dalam dua serangan di Borno, utara Nigeria.
Dalam serangan pertama, pemberontak dari Wilayah Islam Afrika Barat (ISWAP) didakwa menyerbu bandar Ajiri dengan menaiki beberapa lori dilengkapi senjata berat.
Menurut sumber, serangan disasarkan di pangkalan tentera yang mendorong kepada pertempuran sehingga mengorbankan lima anggota tentera dan 15 militia.
“Kami kehilangan lima anggota dan 15 Civilian JTF (militia) dalam pertempuran itu,” katanya.
Sumber itu berkata, seramai 10 orang awam turut terbunuh dalam pertempuran berkenaan.
“Kumpulan pengganas terbabit tiba dalam jumlah yang ramai pada jam 8.45 malam dan pertempuran berlangsung sehingga beberapa jam.
“Orang awam bertempiaran lari mencari perlindungan. Jumlah kematian adalah seramai 30 orang setakat ini,” katanya.
Katanya, kumpulan pengganas terbabit turut merampas lima lori tentera yang dilengkapi senjata mesingan.
Dalam kejadian berasingan, lima orang awam terbunuh, manakala tujuh lagi cedera selepas kenderaan dinaiki mereka melanggar jerangkap samar berhampiran bandar Rann.
Kenderaan terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Gamboru sebelum terlanggar jerangkap samar di perkampungan Tumshe, kira-kira 10 kilometer dari Rann.
“Kenderaan terbabit meletup, mengorbankan lima orang, manakala tujuh lagi parah,” menurut penduduk Rann, Walid Abdallah.
Seorang lagi penduduk, Ibrahim Umar, mendakwa jerangkap samar itu dipasang kumpulan pengganas ISWAP bagi membalas dendam di atas kekalahan mereka dalam pertempuran pada Sabtu lalu. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




