36 penjawat awam di Negeri Sembilan masih degil tidak mahu divaksin – Utusan Digital

36 penjawat awam di Negeri Sembilan masih degil tidak mahu divaksin – Utusan Digital

SEREMBAN: Seramai 36 orang daripada 6,618 penjawat awam Negeri Sembilan masih menolak untuk menerima vaksin Covid-19 meskipun nasihat dan sesi kaunseling telah diberikan kepada mereka.

Setiausaha Kerajaan Negeri Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab. Malik berkata, pihaknya akan terus memberikan tempoh sekurang-kurangnya sehingga dua bulan lagi untuk mereka berubah fikiran.

Bagaimanapun, ujar beliau, sekiranya golongan tersebut masih berdegil, tindakan tatatertib akan dikenakan termasuklah mereka akan diberhentikan kerja.

“Kami akan minta supaya mereka ini pergi berjumpa doktor untuk mengesahkan sama ada mereka boleh divaksin ataupun tidak. Selepas itu, kami akan nilai semula, kalau mereka boleh divaksin, kami akan nasihat lagi, kalau mereka masih enggan, kami akan ambil tindakan yang perlu.

“Tindakan yang akan diambil adalah atas kepentingan semua pihak. Tindakan tatatertib akan diambil mengikut kes demi kes, kerana mereka yang enggan ini mempunyai latar belakang yang berbeza.

“Antara tindakan tatatertib yang akan dikenakan termasuk hukuman turun pergerakan gaji dan diberhentikan kerja. Ada kes yang kakitangan itu sanggup untuk diberhentikan, namun, pihak kami tetap menasihatkan sekiranya begitu, dia perlu membuat keputusan supaya dia berhenti atas pilihan kerana ia lebih baik daripada dia diberhentikan,” katanya.

Razali berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Di Wisma Negeri, di sini hari ini.

Bagaimanapun, tambah beliau, tindakan tatatertib itu akan menjadi pilihan terakhir yang akan dikenakan kerana pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri masih mahu kesemua penjawat awam negeri ini lengkap menerima vaksin Covid-19.

“Kami akan buat kaunseling dari semasa ke semasa kepada mereka ini. Kami akan bantu, kerana kami tidak mahu sekiranya mereka diberhentikan, nanti mereka akan hilang punca pendapatan dan keluarga mereka akan terjejas,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, daripada jumlah penjawat awam Negeri Sembilan, terdapat 13 orang individu yang memberikan alasan tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan. 

“Setakat ini, sebanyak 98.8 peratus penjawat awam di negeri ini sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 masing-masing. Bagi mereka yang enggan, kita akan terus menasihatinya dan mengambil tindakan yang perlu,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan penduduk di negeri ini terutamanya yang tinggal di kawasan yang rendah supaya berwaspada dan berhati-hati sekiranya berlaku banjir. 

“Kami telah arahkan semua jabatan yang terlibat terutamanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pasukan bomba supaya sentiasa bersedia sekiranya berlaku banjir di kawasan ‘hotspot’ di setiap daerah,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

Scroll to Top