khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 37,538 aduan kacau ganggu anjing terbiar diterima oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebanyak 15,815 jumlah operasi dilaksanakan bagi tahun 2024.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, berdasarkan operasi itu, sebanyak 66,264 ekor anjing terbiar telah ditangkap.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 19,354 ekor anjing diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), dituntut semula oleh pemilik dan diadopsi melalui program anjing angkat.
“Usaha yang berterusan menerusi kaedah tangkapan, tuntutan semula, adopsi atau serahan kepada NGO (badan bukan kerajaan) serta pelupusan (TRRD) ini akan dilaksanakan bagi mengekang pertambahan populasi anjing terbiar.
“(Ia) bagi mengatasi kegusaran masyarakat setempat terhadap kes gigitan anjing, masalah kacau ganggu dan keselamatan kepada komuniti, ancaman kecederaan dan kematian akibat serangan anjing liar serta pencemaran kebersihan kawasan-kawasan awam yang menjejaskan imej bandar sebagai kawasan yang bersih dan selamat,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai bagaimana Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengukur kejayaan atau kegagalan usaha kawalan populasi haiwan terbiar sedia ada seperti kaedah TRRD dan bukti bahawa kaedah itu berjaya.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, kejayaan jangka panjang dalam kawalan populasi haiwan terbiar juga amat bergantung kepada kerjasama bersepadu semua pihak.
“(Ia) termasuk komuniti, menerusi amalan pemilikan haiwan yang bertanggungjawab, kawalan pembiakan serta pendidikan kesedaran awam,” katanya.
Dalam pada itu katanya, buat masa ini, KPKT melalui PBT kekal menggunakan kaedah TRRD dalam pengurusan anjing terbiar.
“Secara dasarnya, kaedah ini melibatkan penangkapan haiwan terbiar, tempoh tuntutan semula haiwan oleh pemilik asal dan cadangan adopsi oleh pihak yang bertanggungjawab.
“Proses pelupusan secara beretika merupakan kaedah terakhir sekiranya haiwan tersebut didapati agresif, berpenyakit, terlalu uzur atau tidak sesuai untuk diadopsi.
“Bagi anjing yang tidak dituntut semula oleh tuan anjing atau diadopsi oleh orang ramai, PBT boleh menyerahkan anjing berkenaan kepada NGO tertentu mengikut kapasiti keupayaan dan kewangan pusat perlindungan haiwan NGO tersebut,” katanya.
Beliau dalam masa sama turut menyeru agar pihak NGO memainkan peranan tidak melepaskan anjing yang telah diserahkan kepada mereka dan memberikan kerjasama dengan PBT untuk menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Ini dapat dilaksanakan melalui pendekatan yang lebih praktikal iaitu memperluaskan program anjing angkat, membantu mendapatkan pemilik baharu dan penglibatan komuniti secara holistik melalui kutipan derma bagi membiayai penjagaan anjing terbiar tersebut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




