Kota Bharu: Seramai 38 pendatang tanpa izin ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Kelantan di beberapa lokasi sekitar Kota Bharu, Machang dan Pasir Mas bermula semalam hingga hari ini.
Pengarahnya Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata pemeriksaan dijalankan di beberapa kawasan seperti Kampung Kemubu Lemal, Kampung Kemubu Machang, Mukim Guntung dan Kampung Lubok Jong, hasil daripada risikan yang dilakukan pihaknya.
Beliay berkata mereka ditahan berusia 20 hingga 61 tahun itu terdiri daripada 32 lelaki Bangladesh, dua lelaki Myanmar dan empat lelaki Indonesia.
“Kesemua mereka disyaki melanggar Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesemua yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Tanah Merah bagi siasatan lanjut.
Beliau turut turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran pendatang atau sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang melibatkan warga asing kepada pihak berkuasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd