39 ditahan, termasuk 9 suspek kes jenayah seksual

39 ditahan, termasuk 9 suspek kes jenayah seksual

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Polis Kelantan menahan 39 individu termasuk sembilan orang dikehendaki bagi kes membabitkan jenayah seksual, wanita dan kanak-kanak, dalam operasi khas, awal bulan ini.

Mereka yang berusia antara 16 hingga 75 tahun ditahan menerusi Op Kesan dan Op Mega Cantas Khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bermula 3 hingga 7 September.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, Op Kesan menahan sembilan lelaki tempatan dikehendaki polis, manakala Op Mega Cantas Khas menahan 30 orang termasuk dua wanita yang terdiri daripada 26 warga tempatan serta empat warga Indonesia.

“Daripada keseluruhan tangkapan, 12 orang didapati positif dadah selepas ujian saringan air kencing.

“Fokus utama Op kesan adalah menjejaki dan menahan individu yang dikehendaki bagi kesalahan khususnya jenayah seksual, wanita dan kanak-kanak, manakala Op Mega Cantas Khas menumpukan kepada kes jenayah lain-lain di negeri ini,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

Katanya, siasatan mengikut Seksyen 376, 376 (B) Kanun Keseksaan (KK) iaitu melakukan persetubuhan tanpa kerelaan dan dengan mahram, Seksyen 323 KK/ Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 kerana mendatangkan kecederaan.

“Ada juga yang ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Selain itu, siasatan juga mengikut Seksyen 507B KK iaitu perbuatan dengan niat di mana perkataan, komunikasi atau perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan gangguan, ketakutan atau kebimbangan, Seksyen 324 KK kerana mendatangkan kecederaan kepada orang lain, Akta Dadah Berbahaya 1952, dan Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1972,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top