
TUNIS: Sekurang-kurangnya 39 pendatang asing maut selepas dua bot karam di luar Tunisia ketika cuba merentasi Laut Mediterranean ke Lampedusa di Itali.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Tunisia, Mohamed Zekri berkata, pengawal pantai berjaya menyelamatkan 165 orang dan operasi mencari lebih ramai mangsa terselamat masih diteruskan di luar pantai Sfax.
Katanya, semua pendatang asing yang maut itu datang dari sub-Sahara Afrika.
Pinggir pantai berhampiran bandar pelabuhan Sfax di Tunisia menjadi titik berlepas utama untuk individu yang melarikan diri daripada konflik dan kemiskinan di Afrika serta Timur Tengah demi mencari kehidupan lebih baik di Eropah.
Pada 2019, kira-kira 90 pendatang asing Afrika lemas apabila bot mereka, yang dalam perjalanan dari Libya ke Eropah, terbalik di luar pantai Tunisia, antara tragedi terburuk yang perlu ditangani pihak berkuasa Tunisia.
Sebuah kumpulan hak asasi manusia berkata, jumlah pendatang asing dari Tunisia mendarat di pantai Itali meningkat lima kali ganda kepada 13,000 orang tahun lalu akibat masalah ekonomi di Tunisia.