3R: Polis Perak diingatkan bertindak ikut undang-undang, utamakan keselamatan

3R: Polis Perak diingatkan bertindak ikut undang-undang, utamakan keselamatan

am@hmetro.com.my

Ipoh: Ketua Polis Perak mengingatkan warganya agar sentiasa mengutamakan keselamatan serta bertindak mengikut lunas undang-undang ketika berhadapan situasi semasa yang menyaksikan terdapat anasir tidak bertanggungjawab, dilihat sengaja meniupkan elemen perkauman.

Datuk Noor Hisam Nordin berkata, menjadi tanggungjawab polis khususnya yang bertugas secara langsung dengan orang ramai di lapangan supaya mengekang atau meneutralkan sentimen itu yang termasuk dalam perkara 3R (raja, agama dan kaum).

“Sejak akhir-akhir ini ada sedikit gelombang atau kepanasan suhu perkauman yang cuba ditiupkan oleh anasir-anasir tidak bertanggungjawab di dalam negara. Jadi perhatikan keadaan semasa dan kita tidak mahu berlaku insiden tidak diingini yang membabitkan kaum.

“Susah untuk kita bendung kalau konflik kaum ini meletus. Jadi sebelum api itu merebak, kita padamkan baranya. Punca (konflik) kaum itu pun berkaitan dengan agama juga.

“Saya juga menasihatkan encik-encik semua (polis) berhati-hatilah di lapangan. Jadi encik-encik semua pun kena melihat keselamatan diri encik-encik, jangan kita bertindak melulu kerana kita ada sistem. Jika ada keadaan yang agak meragukan atau ancaman keselamatan tinggi, tunggu pasukan bantuan tiba dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Menyantuni Petugas di Lapangan dan High Profile Policing Walkabout Ketua Polis Perak di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Seramai 60 pegawai dan anggota Polis Perak khususnya daripada Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) selain Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh terlibat program itu.

Noor Hisam turut menyantuni peniaga bazar Ramadan di pekarangan stadium.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top