MOGADISHU: Kerajaan Somalia dan agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) memberi amaran bahawa 4.4 juta penduduk berisiko menghadapi kebuluran menjelang April ini berikutan kemarau yang semakin teruk, konflik dan kenaikan harga makanan di negara Tanduk Afrika itu.
“Kemarau yang semakin teruk menimbulkan ancaman besar kepada masyarakat yang bergelut dengan kesukaran yang besar dan konflik yang berterusan.
“Tindakan segera diperlukan untuk menyelamatkan nyawa, melindungi mata pencarian dan mencegah penderitaan,” kata Pesuruhjaya Agensi Pengurusan Bencana Somalia (SoDMA), Mohamuud Moallim dalam satu kenyataan bersama beberapa agensi PBB lain.
Beliau berkata, mereka kali ini bukan sahaja berhadapan kesan buruk kemarau, tetapi risiko semakin meningkat, termasuk konflik dan penurunan pembiayaan kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Krisis bertindih ini menuntut tindakan segera, kolektif dan diselaraskan dengan baik untuk mengukuhkan daya tahan Somalia dan melindungi komuniti kita yang paling terdedah.”
Amaran itu dikeluarkan oleh SoDMA, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), dan Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Mereka bimbang bilangan penduduk terjejas akan meningkat kepada 4.4 juta (23 peratus daripada populasi) antara April dan Jun ini, apabila hujan di bawah purata dijangkakan.
Mengikut kenyataan itu, kekurangan pembiayaan yang meruncing menyebabkan pengurangan atau penamatan program menyelamatkan nyawa di Somalia, dan ia amat diperlukan untuk meningkatkan bantuan makanan, sokongan pemakanan, perkhidmatan air dan sanitasi serta inisiatif untuk mengurangkan kesan kemarau di Somalia.
Pelan Keperluan dan Tindak Balas Kemanusiaan Somalia untuk 2025 memerlukan AS$1.42 bilion untuk menangani krisis kemanusiaan negara itu, tetapi hanya 12.4 peratus daripada jumlah itu diterima setakat ini.
Amaran itu dibuat apabila analisis Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) terkini menunjukkan bahawa 3.4 juta rakyat Somalia h mengalami kebuluran tahap krisis atau lebih tinggi. – ANADOLU








