4 anggota polis tak mengaku salah kes peras 2 warga Thailand RM10,000

4 anggota polis tak mengaku salah kes peras 2 warga Thailand RM10,000

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Tiga anggota polis mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dan melakukan pemerasan secara berasingan terhadap dua lelaki warga Thailand membabitkan kerugian wang RM10,000, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Shukri Amran, 35, Mohammad Faizal Mirdukhim @ Mustapa, 43, dan Muhammad Arifshah Zulkefli, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap dibaca serentak di hadapan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah.

Berdasarkan pertuduhan, mereka yang bertugas didakwa secara bersama dengan sengaja melakukan pemerasan terhadap Anotai Saentawee dan Suwit Sake.

Tindakan mereka telah mendatangkan ketakutan bahawa apa-apa bencana berlaku kepada warga asing berkenaan sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM10,000.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah stesen minyak hentian rehat Juru arah selatan, 1.30 pagi, 26 November tahun lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang turut memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh yang juga anggota polis turut mengaku tidak bersalah selepas berdepan pertuduhan secara berasingan melakukan pemerasan membabitkan mangsa sama.

Tertuduh, Muhammad Nizar Mat Axid, 40, didakwa bersubahat melakukan pemerasan terhadap Anotai Saentawee dan Suwit Sake bersama tiga tertuduh terbabit iaitu Mohd Shukri, Mohammad Faizal dan Muhammad Arifshah di sebuah rumah sewa di Jalan Setia 2, Taman Setia, pada tarikh sama, 2.30 pagi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 385 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 12 September ini untuk sebutan semula kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top