farid_noh@bh.com.my
Johor Bahru: Empat individu termasuk seorang pengarah dan setiausaha syarikat swasta yang juga anggota sindiket pemalsuan dokumen geran hak milik tanah, ditahan malam tadi.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor berkata, empat suspek lelaki berusia berusia antara 49 hingga 53 tahun itu, telah ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 11 malam.
Difahamkan, tangkapan ke atas keempat-empat individu itu dibuat atas kesalahan pemalsuan dokumen yang mengandungi butir matan palsu di dalam urusan permohonan Hakmilik Sambungan (Geran Hilang) Seksyen 168 Kanun Tanah Negara (KTN).
“Permohonan itu adalah untuk mendapatkan Geran Hakmilik yang baharu daripada Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) Johor dan urusan pertukaran nama pemilikan di dalam geran yang membabitkan beberapa dokumen,” kata sumber berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi ini bagi mendapatkan permohonan reman,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




