4 cedera, bas ekspres langgar treler

4 cedera, bas ekspres langgar treler

am@hmetro.com.my

Rembau: Bas ekspres yang membawa 30 penumpang terbabit kemalangan selepas dikatakan melanggar bahagian belakang sebuah treler di KM 243.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) (U), di sini, awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, nahas kira-kira jam 2.50 pagi itu menyebabkan empat penumpang cedera ringan.

“Bomba menerima panggilan jam 2.52 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau dengan bantuan BBP Kota serta Senawang ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang melanggar bahagian belakang lori treler,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya, Komander Operasi, PBK I Mohd Kassim Arippin melaporkan bahawa terdapat 30 penumpang terdiri daripada 13 lelaki dewasa, 16 wanita dewasa, dan seorang kanak-kanak.

“Empat wanita dewasa mengalami kecederaan ringan dengan kesemua penumpang berjaya keluar sendiri dari bas sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi,” katanya.

Ujarnya, pemandu bas dan pemandu lori dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Tambahnya, mangsa yang mengalami kecederaan ringan diberikan rawatan awal sebelum ketibaan ambulans di lokasi kejadian dan operasi tamat jam 4.05 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top