4 ditahan, pukul dan samun lelaki mabuk

4 ditahan, pukul dan samun lelaki mabuk

mhafis@mediaprima.com.my

Ampang Jaya: Empat individu masing-masing dua lelaki dan wanita ditahan, disyaki terbabit kes samun serta pukul seorang promoter dalam kejadian 22 September lalu.

Semua mereka berusia 17 hingga 29 tahun ditahan berperingkat bermula Jumaat lalu hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa berusia 27 tahun yang mendakwa cedera akibat perbuatan suspek.

Katanya, dalam kejadian 6 pagi itu, lelaki berkenaan baru selesai berhibur di pusat hiburan di Pandan Perdana dan menunggu pengangkutan e-hailing untuk pulang.

“Kemudian sebuah kereta dinaiki dua wanita serta seorang lelaki menghampirinya dan menawarkan untuk menghantar mangsa pulang.

“Ketika berada di dalam kereta itu, mangsa dituduh mengganggu salah seorang wanita dan suspek lelaki terus memukulnya dengan topi keledar menyebabkan luka di muka.

“Mangsa kemudian membuka pintu kereta dan cuba terjun untuk melarikan diri, menyebabkan dia terseret di atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, suspek kemudian mengambil telefon bimbit dan wang tunai RM100 milik mangsa sebelum melarikan diri.

Katanya, akibat kejadian itu mangsa cedera di pipi sebelah kanan, mulut, lutut, siku, kaki dan calar di dada sebelah kiri.

“Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya menahan suspek pertama (wanita) pada 4.15 pagi kelmarin (Jumaat) di Pandan Perdana dan merampas telefon bimbit. Dia direman lima hari sehingga 3 Oktober.

“Suspek kedua (wanita) ditahan di hadapan hotel di Kuala Lumpur pada jam 12.20 tengah malam semalam dan dua telefon bimbit dirampas. Dia direman seminggu sehingga 4 Oktober ini.

“Suspek ketiga dan keempat iaitu dua lelaki masing-masing ditahan pada 2.20 pagi dan 4.05 pagi di Cheras dan Pandan Jaya serta merampas tiga telefon bimbit. Mereka direman seminggu sehingga 4 Oktober,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top