am@hmetro.com.my
Gua Musang: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan melakukan penerbangan penghantaran 956 bakul makanan kepada penduduk Orang Asli di lima pos pedalaman di daerah ini.
Operasi yang bermula hari ini itu membabitkan lebih 17 tan makanan asas antaranya beras, gula, biskut, sardin dan tepung gandum.
Penguasa Kanan Bomba I (PgKB I), Mohd Ruzaidi Ramlee, berkata pengagihan bakul makanan itu adalah daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) kepada penduduk Orang Asli yang terkesan dengan Monsun Timur Laut (MTL).
Katanya, operasi terbabit akan dilakukan selama empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat ini.
“Alhamdulillah, untuk hari ini kami dapat melakukan penghantaran di Tandrik, Pos Bihai yang membabitkan 203 bakul makanan iaitu sebanyak 3.6 tan.
“Operasi akan diteruskan pada hari esok iaitu di Pos Gob, namun bergantung kepada keadaan cuaca semasa dan saya harap keadaan cuaca baik sepanjang operasi ini,” katanya ketika ditemui selepas operasi penghantaran bakul makan di padang Sekolah Menengah Sains Gua Musang, hari ini.
Menurut beliau operasi terbabit menggunakan sebuah pesawat MI-17-IV dengan kekuatan anggota unit udara JBPM seramai 22 anggota.
“Operasi ini membabitkan lima pos pedalaman iaitu Pos Gob, Pos Balar, Pos Bihai, Pos Belatim dan Pos Simpor,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Tendrik, Pos Bihai, Apek Asud berkata, penduduk Orang Asli di pedalaman berterima kasih kepada pihak JAKOA dan Unit Udara JBPM yang berusaha melakukan penghantaran bakul makanan melalui udara.
Katanya, penduduk sangat gembira apabila menerima bakul makanan kerana tidak dapat keluar daripada penempatan mereka akibat cuaca hujan baru-baru ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




