4 import Brazil perkuat Melaka FC

4 import Brazil perkuat Melaka FC

sukan@hmetro.com.my

Melaka: Melaka FC (MFC) tampil sebagai pasukan underdog di pentas Liga Super musim 2025/2026 biarpun diperkuat empat import Brazil.

Pengurus merangkap ketua jurulatih MFC, K Devan berkata, sebagai pendatang baharu dalam liga, sudah pasti pasukan hadir dengan tekad melakar kejayaan setiap perlawanan yang bakal diharungi.

Menurutnya, MFC kali ini jelas skuad berbeza dengan pasukan di pentas A1 Semi Pro dengan hanya mengekalkan 45 peratus pemain yang muncul juara liga itu musim lalu.

Katanya, persiapan sejak Jun lalu membabitkan lapan perlawanan persahabatan dilihat semakin baik biarpun barisan import datang kemudian iaitu sebelum latihan awal bermula.

“Kini persiapan pasukan memasuki adaptasi taktikal di kalangan pemain termasuk penekanan kombinasi dan stamina menjelang kira-kira seminggu aksi pembukaan berdepan Penang di Melaka.

“Sebagai pendatang baru, kami tetap mencuba untuk menduduki kelompok pertengahan, iaitu antara tangga keenam hingga lapan di pentas liga yang dikira baik berdasarkan kehebatan pasukan utama seperti JDT, Selangor, KL City, Terengganu dan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengenalan pemain, jersi dan penaja di Ayer Keroh, hari ini yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam. Turut hadir Presiden MFC, Datuk Nur Azmi Ahmad.

Sementara itu, Nur Azmi berkata, skuad berkenaan menyediakan peruntukan hampir RM6 juta bagi mengharungi saingan musim ini, tidak seperti sesetengah pasukan lain yang memiliki bajet lebih besar.

Pemain import MFC musim ini membabitkan Michael Ozor (Nigeria), yang juga pemain tengah musim lalu selain muka baharu membabitkan empat pemain Brazil iaitu Juan Douglas (penyerang), Patrick Gama (tengah), Anderson Brito (sayap) dan Vitor Carvalho beraksi di posisi pertahanan.

Dua lagi pemain lain iaitu Charles Ralph (pertahanan) dan Florencio Badelic Jr (penjaga gol) dari Filipina.

Bekas penyerang PDRM FC, Muhammad Shahrel Fikri Mohd Fauzi dan bekas pertahanan KL City, Irfan Zakaria antara muka baharu dalam kalangan pemain tempatan selain penyerang utama, Abdul Azim Rahim, Ahmad Haziq Ahmad Puad, Nizaruddin Jazi dan Nasir Basharuddin antara yang dikekalkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top