4 kakitangan Puspakom Wangsa Maju beri keterangan kepada JPJ

4 kakitangan Puspakom Wangsa Maju beri keterangan kepada JPJ

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seramai empat kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) cawangan Wangsa Maju memberi keterangan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya berhubung siasatan kenderaan tidak mematuhi standard didakwa diluluskan pihak berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman mengesahkan dua kakitangan saja memberi keterangan selepas Ops Mengejut kepada JPJ Putrajaya pada 31 Disember lalu dan bukan tiga orang seperti laporan beberapa media.

“Orang ketiga dalam gambar (yang disiarkan) adalah Pegawai Pengurus Wilayah Tengah Puspakom yang turut hadir untuk menemani mereka, namun tidak terbabit dalam memberi keterangan kepada JPJ.

“Kemudian, JPJ memutuskan memanggil dua lagi kakitangan Puspakom Wangsa Maju dan saya difahamkan mereka hadir pagi tadi.

“Jadi, bilangan yang hadir memberikan keterangan (kepada JPJ) adalah empat orang setakat ini,” katanya dalam sidang media di Puspakom Shah Alam Seksyen 28 di sini, hari ini.

Mahmood berkata, dua kakitangan yang dipanggil memberi keterangan adalah mereka yang meluluskan pemeriksaan kenderaan berkenaan, manakala bakinya yang menggagalkannya.

“Puspakom mengambil maklum dan menyokong usaha yang dijalankan oleh JPJ dan bertekad terus bekerjasama dalam memastikan keselamatan jalan raya terjamin,” katanya.

Pada masa sama katanya, beliau berpuas hati dengan keterangan dua kakitangannya sebelum ini berhubung pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan yang dilaporkan dalam berita baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan, kakitangan yang didapati terbabit dengan sebarang kesalahan termasuk unsur rasuah tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.

“Dua kakitangan ini tiada masalah kerja. Kalau tidak pernah melakukan kesilapan sebelum ini kita akan beri amaran lisan, seterusnya amaran bertulis, sekiranya kalau keterlaluan kita buang,” katanya.

Sementara itu, beliau turut membetulkan laporan jumlah kenderaan yang ditahan JPJ dalam operasi terbabit.

“Secara keseluruhannya, hanya satu kenderaan saja yang disita di cawangan Wangsa Maju, dan bukan tujuh seperti yang dilaporkan, sementara 104 kenderaan yang disita di Perak sebenarnya berada di luar kawasan Puspakom dan belum lagi diperiksa.

“Setakat ini, Puspakom tidak menerima apa-apa saman daripada JPJ sepanjang Ops Gempur yang masuk ke hari ketiga hari ini.

“Sejumlah 43 cawangan diserbu pada 30 Disember 2024, 42 cawangan pada 31 Disember 2024 manakala setakat 2 petang hari ini, dua cawangan diperiksa iaitu Glenmarie dan Seremban,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top