hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Puchong: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu empat kilang tayar celup pneumatik, di sini yang dipercayai menyalahgunakan penandaan Standard Malaysia (MS) 224.
Serbuan dilakukan di empat lokasi berasingan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Standard Malaysia (JSM) serta Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) bermula 8.30 pagi, hari ini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi itu juga susulan penggunaan tayar yang tidak selamat terutama membabitkan kenderaan perdagangan didapati menjadi antara faktor berlaku kemalangan hingga ada menyebabkan kematian.
Menurutnya, hasil risikan dilakukan semalam sebulan, pihaknya mendapati premis berkenaan adalah pengilang yang menghasilkan dan membekalkan tayar celup pneumatik serta turut menggunakan penandaan standard MS 224 yang tidak sah dan tamat tempoh.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, premis itu tidak dipersijilkan oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd untuk mengilang tayar celup pneumatik dengan menggunakan penandaan standard MS 224 sebagaimana yang diwartakan di dalam Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Tayar Pneumatik) 2012.
“Susulan itu, sebanyak 262 unit tayar celup pneumatik dan beberapa dokumen perniagaan berkaitan disita membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM80,410 serta enam individu berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan.
“Premis itu pernah mendapat kelulusan daripada Sirim namun (kelulusan dan pensijilan) sudah tamat tempoh kira-kira setahun. (Sepatutnya) setiap tahun mereka perlu perbaharui kelulusan dengan pihak Sirim dan JSM,” katanya pada sidang media di sini.
Turut hadir Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.
Azman berkata, pihak berkenaan didapati menjual satu tayar celup pada harga RM300 hingga RM400 dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 29(2) Akta Perihal Dagangan 2011 untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menerima sebanyak 194 aduan berkaitan tayar celup pada 2023 dan tahun lalu pula sebanyak 296 aduan diterima.
Katanya, tahun ini sehingga semalam sebanyak 28 aduan daripada orang ramai yang prihatin mengenai keselamatan tayar berkenaan.
“KPDN ingin memberi amaran kepada semua pihak berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa serta memastikan kesemua produk tayar celup pneumatik yang dihasilkan memenuhi piawaian MS 224 bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan di bawah perundangan berkaitan.
“Kesalahan seumpama ini amat serius dan boleh menimbulkan ancaman keselamatan kepada pengguna di jalan raya.
“Pengguna juga disarankan agar tidak mudah terpedaya dengan harga murah yang ditawarkan untuk mendapatkan tayar celup pneumatik di pasaran tempatan.
“Maklumat berkaitan pengilang tayar celup pneumatik boleh disemak di Portal Malaysian Certified melalui laman sesawang www.malaysiancertified.com.my/,” katanya.
Untuk rekod, proses pensijilan barangan Sirim ke atas pembuatan tayar celup dibuat berdasarkan penilaian pematuhan di premis pengilang yang mencakupi audit kualiti ke atas bahan mentah, pemeriksaan dan pemilihan tayar terpakai, proses pembuatan (memulih tayar terpakai untuk menjadi tayar celup) dan menguji kualiti tayar celup.
Selain itu, elemen penandaan ke atas tayar celup, pemilihan sampel tayar celup untuk ujian prestasi dan jaminan kualiti tayar celup oleh pengilang tayar celup turut dinilai.
Bagi memastikan prestasi tayar celup yang disijilkan selamat digunakan sewaktu penggunaan dalam keadaan biasa, pengujian dibuat di makmal yang diiktiraf sama seperti ujian untuk tayar baharu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




