4 Klinik Kesihatan akan dijadikan Hospital Cottage

4 Klinik Kesihatan akan dijadikan Hospital Cottage

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Empat Klinik Kesihatan (KK), termasuk dua di Sabah dan satu di Sarawak, akan dijadikan Hospital Cottage bagi memperluas akses perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat, terutamanya di kawasan pedalaman.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, empat KK yang dikenal pasti adalah KK Nabawan dan Telupid di Sabah, KK Tekek di Pulau Tioman serta KK Sungai Asap di Sarawak.

Katanya, Hospital Cottage akan diwujudkan bagi kawasan pedalaman yang mempunyai akses terhad kepada hospital.

“KKM akan menaik taraf klinik kesihatan terpilih dengan kemudahan dan wad pemerhatian.

“Inisiatif itu bertujuan memperluas akses rawatan kepada pesakit dalam dan mendekatkan perkhidmatan kesihatan, sekali gus mengurangkan perjalanan yang jauh serta mengurangkan kesesakan di hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Kesihatan (KKM) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menyentuh berhubung perkhidmatan doktor udara (PDU), Dr Dzulkefly berkata, perkara itu sedang dalam penyelidikan KKM.

“Kita sedang menunggu dapatan siasatan penuh daripada pihak berkuasa untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum dijawab di sini.

“Supaya jawapannya kelak adalah telus, tuntas dan menyeluruh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top