4 lagi pegawai polis dikenal pasti lepas suspek Macau Scam

4 lagi pegawai polis dikenal pasti lepas suspek Macau Scam

Kuala Lumpur: Bukit Aman mengenal pasti empat lagi pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di Pulau Pinang yang melepaskan suspek Macau Scam.

Mendedahkan perkembangan terbaharu itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya berkata, pegawai terbabit mempunyai kaitan secara langsung termasuk pegawai penyelia Inspektor berkenaan.

Menurutnya, seramai 11 tahanan Macau Scam berkenaan dikatakan diserahkan kepada seorang ‘pegawai’ Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk dihantar ke depoh tahanan tetapi tidak dihantar seperti sepatutnya.

“Siasatan setakat ini mendapati terdapat pelanggaran serius kepada prosedur operasi standard (SOP) oleh Inspektor terbabit dalam pengendalian dan penyerahan semua 11 suspek Macau Scam.

“JIPS Bukit Aman sedang menjalankan siasatan tatatertib secara menyeluruh berhubung tindakan seorang inspektor di IPD Timur Laut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Zamri berkata, JIPS akan mengesyorkan supaya pegawai terbabit ditahan kerja untuk membolehkan siasatan yang lebih terperinci dijalankan.

Katanya, tindakan keras juga akan diambil terhadap empat pegawai yang sudah dikenal pasti sekiranya didapati bersalah menyalahgunakan kuasa dan melanggar SOP dalam pengendalian tahanan berkenaan.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan pembabitan seorang pegawai berpangkat inspektor yang disyaki melepaskan tahanan Macau Scam.

Scroll to Top