am@hmetro.com.my
Kota Belud: Polis Kota Belud menumpaskan kegiatan memproses dan menjual air ketum dalam serbuan berasingan di beberapa kampung di daerah ini, bermula pada 24 Mei hingga semalam.
Serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud turut menahan empat lelaki berusia 20 hingga 50 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, tangkapan itu dilakukan hasil maklumat risikan dan serbuan di Kampung Taun Gusi, Tampasuk 1, Kampung Suang Punggur, Kampung Pintasan dan Kampung Ambong.
“Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki di sebuah rumah di Kampung Pintasan. Pasukan serbuan merampas lapan botol berisi 1.5 liter air ketum.
“Dalam serbuan kedua di Kampung Taun Gusi, pasukan serbuan menahan seorang lelaki bersama 24 botol 1.5 liter berisi air ketum di dalam sebuah rumah yang didiami oleh suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, serbuan di sebuah rumah di Kampung Ambong, pasukan serbuan menahan dua lelaki bersama 10 botol 1.5 liter berisi air ketum.
“Pasukan serbuan turut merampas beberapa peralatan dipercayai untuk memasak air ketum berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, air ketum berkenaan dijual dengan harga anggaran RM25 hingga RM30 sebotol,” katanya.
Shahrudin berkata, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Polis mengingatkan kepada setiap individu yang terbabit memproses, menjual, membeli dan menggunakan ketum untuk segera berhenti daripada menjalankan aktiviti tidak bermoral ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd