Los Angeles: Sekurang-kurangnya empat orang maut manakala lebih daripada 12 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 30 kenderaan di Lebuh Raya Antara Negeri 25 (I-25) di Colorado, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa.
Menurut Polis Peronda Negeri Colorado, nahas itu berlaku sejurus selepas 10 pagi waktu tempatan di pinggir Bandar Pueblo, kira-kira 180 kilometer ke selatan Denver.
Pegawai berkata, laluan menghala ke utara I-25 ditutup susulan kemalangan itu, manakala laluan menghala ke selatan turut ditutup berikutan jarak penglihatan yang rendah di kawasan berkenaan.
Rakaman kamera trafik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Colorado menunjukkan timbunan besar membabitkan pelbagai kenderaan dan kehadiran pasukan penyelamat di lokasi kejadian.
Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




