4 pelajar khas KV Keningau dapat tempat pertama deklamasi puisi bahasa isyarat

KUALA LUMPUR – Empat pelajar istimewa dari Kolej Vokasional Keningau berjaya mendapat tempat pertama dalam deklamasi puisi menggunakan bahasa isyarat dalam karnival seni Portugal (Portugal Art Carnaval) yang diadakan secara maya pada 25 Mei lalu.

Video persembahan mereka bolehlah diakses melalui pautan YouTube: https://youtu.be/YD-yPOcUNlw

Pasukan Kolej Vokasional Keningau diwakili oleh Farhan Azrey Bin Jais, Dymphna Simon, Calvin Junior John Liwo dan Nurazwin Liyana Abdullah.

Mereka masing-masing menyampaikan puisi yang berkaitan dengan budaya etnik di Sabah.

Farhan Azrey menyampaikan puisi berjudul “Jomo Teko” (mereka tiba) yang menyentuh sejarah kaum nomad yang lebih suka menetap di kawasan laut.

Manakala Dymphna Simon mempersembahkan puisi bertajuk “Ngakak” yang merupakan makhluk mitos yang ditakuti penduduk kampung pada masa dahulu.

Calvin Junior berjaya menggambarkan kecantikan alam semulajadi melalui puisi “Manuk-Manuk” (serangga terbang) melalui expresi wajah dan pergerakan tangannya sementara penghayatan Nurazwin Liyana dalam mempersembahkan puisi “Mother” dapat menimbulkan perasaan rindu dan kasih sayang dalam kalangan penonton.

Empat pelajar ini bertekad dalam misi mereka untuk membuka laluan kepada individu berkeperluan khas agar dapat menyertai aktiviti yang kebiasaannya menggunakan bahasa lisan melalui alternatif lain seperti bahasa isyarat.

Mereka berjaya membuktikan bahawa bahasa isyarat mampu digunakan dalam seni persembahan dan menyampaikan mesej karya sastera.

Pengarah KV Keningau, Encik Johari @ Jaibet Sabin menzahirkan rasa bangga beliau dengan pencapaian pelajar-pelajar ini yang mampu memberi impak kepada sistem pendidikan khas di negara ini. – MalaysiaGazette