4 pengarah syarikat antara ditahan kemuka dokumen palsu permit pekerja asing

4 pengarah syarikat antara ditahan kemuka dokumen palsu permit pekerja asing

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lima individu, termasuk empat pengarah syarikat dengan seorang daripadanya warga Bangladesh ditahan selepas disyaki mengemukakan dokumen palsu bagi permohonan permit pekerja asing di Selangor.

Menurut sumber, semua suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 60-an.

Katanya, kelima-lima mereka ditahan antara jam 3 hingga 6 petang semalam ketika hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor untuk memberi keterangan.

“Semua suspek dipercayai mengemukakan dokumen permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 kepada Jabatan Imigresen Selangor.

“Dokumen itu mengandungi butir matan palsu dan dipercayai bertujuan memperdayakan pihak Imigresen,” katanya.

Menurutnya, perbuatan itu dipercayai dilakukan melalui syarikat masing-masing antara 2023 hingga 2024.

Sehubungan itu, semua suspek kini direman empat hari sehingga 27 Jun ini untuk siasatan lanjut.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret 2 Shah Alam, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan penahanan itu dan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Katanya, tiga lagi individu turut ditahan semalam, namun mereka dibebaskan atas faktor kesihatan.

“Mereka dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin setiap seorang,” katanya,

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top