am@hmetro.com.my
Tangkak: Empat penumpang serta pemandu cedera manakala 21 lagi terselamat apabila bas ekspres dinaiki terbabit dalam nahas dengan treler di Kilometer 152.4, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) dekat Tangkak, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, berkata pihaknya menerima laporan berkenaan nahas itu pada jam 12.12 tengahari daripada orang awam.
Beliau berkata, laporan kemalangan itu membabitkan bas dan treler masing-masing dipandu lelaki berusia 67 dan 36 tahun.
“Siasatan awal polis mendapati, pemandu memberhentikan treler di lorong kecemasan kerana mengalami masalah teknikal.
“Kemudiannya datang sebuah bas membawa 25 penumpang kesemuanya, tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang treler terbabit.
“Rempuhan itu menyebabkan empat penumpang dan pemandu bas cedera manakala 21 lagi tidak mengalami kecederaan. Penumpang dan pemandu bas dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, penumpang tidak cedera kemudiannya meneruskan perjalanan ke destinasi dengan menaiki bas ganti yang disediakan syarikat pengangkutan itu.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
“Polis menyeru orang ramai mempunyai maklumat menghubungi talian 013-9825324 atau mana-mana balai berhampiran bagi melengkapkan siasatan.” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd