4 petugas kesihatan KKM antara terlibat nahas helikopter

PUTRAJAYA: Insiden helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dilaporkan terhempas pada petang ini disahkan membawa empat petugas kesihatan di bawah kementerian itu.

Ia meliputi seorang Pegawai Perubatan, seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dan dua orang Jururawat yang sedang dalam tugas rasmi.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia berdasarkan maklumat awal yang diterima berhubung penerbangan itu yang berlepas dari Miri dikendalikan oleh seorang juruterbang.

Setakat ini, katanya, status kesemua krew dan penumpang serta punca kejadian masih belum dapat dipastikan.

“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama pihak perubatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah berada di lokasi kejadian berhampiran Lapangan Terbang (STOLport) Long Lellang, Sarawak dan operasi sedang giat dijalankan.

“Pihak KKM sedang memantau situasi ini dengan sangat rapi dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa keselamatan, pasukan penyelamat, serta agensi penerbangan yang berkaitan bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF dilaporkan terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, Sarawak sekitar pukul 3.58 petang.

Dzulkefly berkata, pihak kementerian sedang dalam proses menghubungi waris serta ahli keluarga mangsa yang terlibat bagi memberikan sokongan yang sewajarnya.

Memandangkan operasi SAR masih berjalan, beliau memohon kerjasama pihak media dan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih demi menghormati perasaan ahli keluarga mangsa.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mendapat pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa. Sama-sama kita doakan agar segala urusan pencarian dan menyelamat dipermudahkan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top