4 remaja antara 9 'superman' ditahan polis

4 remaja antara 9 'superman' ditahan polis

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Empat remaja lelaki antara sembilan ‘superman’ ditahan dalam Op Motosikal di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Semua lelaki berusia antara 17 hingga 23 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dan JSPT Negeri Sembilan dalam operasi bermula 11.30 malam, semalam hingga 8.30 pagi, hari ini.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menahan enam motosikal yang ditunggang dengan aksi meniarap seperti ‘superman’ dari Kilometer (KM) 274.3 sehingga KM 271 di lebuh raya berkenaan arah selatan pada 2.05 pagi.

Menurutnya, tiga lagi motosikal yang melakukan aksi sama di KM 284 sehingga KM 287 di lebuh raya berkenaan arah utara ditahan pada 3 pagi untuk tindakan lanjut.

“Remaja berusia 17 tahun yang ditahan adalah mereka yang selesai menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Tiga remaja itu adalah rakan, manakala individu lain tidak saling mengenali.

“Mereka ditahan kerana menunggang motosikal dengan aksi berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain. Ketika kejadian juga ada penunggang motosikal cuba melarikan diri namun tidak berjaya,” katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.

Katanya, semua yang ditahan bersama motosikal masing-masing dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSTP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk tindakan selanjutnya.

“Polis turut mengeluarkan 18 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi berkenaan membabitkan masing-masing tiga saman untuk mengubahsuai eksos, tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, kenderaan tiada nombor pendaftaran dan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan.

“Selain itu, dua saman dikeluarkan atas kesalahan nombor pendaftaran kenderaan ‘fancy’ serta masing-masing satu saman mengabikan isyarat lalu lintas dan tiada cermin pandang belakang,” katanya.

Mohd Yusri berkata, penunggang motosikal terutama golongan remaja diberi amaran supaya tidak terbabit dalam aktiviti menyalahi undang-undang jalan raya dan menunggang secara berbahaya.

Katanya, kegiatan itu boleh mengundang risiko kemalangan maut bukan saja kepada diri, malah pengguna lain dan ibu bapa juga dinasihatkan supaya sentiasa memantau sebarang aktiviti anak masing-masing supaya tidak terjebak dalam aktiviti seumpama itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top