am@hmetro.com.my
Chukai: Empat remaja perempuan cedera selepas terjatuh ketika mendaki Bukit Bendera Pantai Teluk Mak Nik, dekat sini, tengah hari tadi.
Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah hari dan salah seorang mangsa, Irish Batrisya Hulaimi, 18, dilaporkan cedera pada bahagian pinggang dan terpaksa dibawa turun oleh pasukan bomba.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman, Juniadi Mohd, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.25 tengah hari.
Menurutnya, seramai enam anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sebelum melakukan kerja menyelamat.
“Tiga rakan Irish Batrisyia, masing-masing berusia lingkungan 18 tahun mengalami cedera ringan pada bahagian muka, pipi dan dagu.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila seorang daripada mangsa tergelincir dan berkemungkinan berpaut pada rakan mereka yang menyebabkan kesemua mereka terjatuh,” katanya.
Juniadi berkata, mangsa yang dilaporkan cedera di pinggang gagal berjalan sebelum rakan mangsa menghubungi talian kecemasan.
“Anggota memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera itu sebelum mangsa diturunkan dengan menggunakan alat pengusung dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd