4 remaja didakwa amang seksual pelajar perempuan 15 tahun

4 remaja didakwa amang seksual pelajar perempuan 15 tahun

hifzuddin@bh.com.my

Baling: Empat remaja lelaki termasuk tiga pelajar berusia 15 dan 17 tahun didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal secara berasingan terhadap pelajar perempuan berusia 15 tahun.

Semua tertuduh yang diiringi waris masing-masing membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan secara tertutup ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di ladang sawit Becah Sawa, Siong dan di dalam kelas sebuah sekolah menengah di sini pada Jun, Julai dan Ogos lalu.

Berikutan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM3,000 seorang dan seorang penjamin serta menetapkan 27 November depan sebagai tarikh sebutan semula.

Media sebelum ini melaporkan, tiga pelajar dan seorang bekas pelajar sebuah sekolah menengah di sini, ditahan selepas disyaki melakukan rogol dan menyebarkan bahan lucah.

Penahanan itu dilakukan selepas pengadu berusia 53 tahun memaklumkan guru disiplin sekolah itu pada jam 11 pagi, Ahad lalu, berkaitan penularan rakaman video anaknya berusia 15 tahun berbogel.

Seorang daripada suspek berusia 17 tahun yang ditahan itu disyaki adalah teman lelaki kepada mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top