am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Empat remaja disyaki terbabit dalam dua kes buli berasingan di daerah ini, bulan lalu, akan didakwa di mahkamah, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, sebelum ini, kesemua remaja terbabit yang disyaki melakukan perbuatan itu sudah diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis.
Beliau berkata, pendakwaan di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini.
“Satu kes buli itu akan didakwa mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan, manakala kes kedua akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam kes pertama 14 Julai lalu, media melaporkan kes buli itu di sebuah sekolah menengah di sini membabitkan seorang pelajar perempuan tingkatan satu yang dipercayai menjadi mangsa buli akibat cemburu oleh dua rakan sekolahnya.
Remaja berusia 13 tahun itu ditemukan dalam keadaan tangan dan kaki diikat menggunakan tali leher serta mulut ditutup dengan sapu tangan.
Kejadian itu hanya disedari selepas ibunya mendapati anaknya tidak muncul sewaktu menjemputnya pulang dari sekolah kira-kira 6.30 petang 14 Julai lalu, dan dia meminta bantuan pengawal keselamatan sekolah berkenaan untuk mencarinya sebelum menemukan anaknya di tandas berkenaan.
Berikutan itu, dua remaja perempuan disyaki terbabit dalam kes itu diambil keterangan untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Dalam pada itu, Hanyan berkata, dua remaja lelaki tingkatan tiga akan didakwa di mahkamah sama kerana disyaki menumbuk rakannya yang juga pelajar lelaki tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di sini pada 21 Julai lalu.
Bapa mangsa menyedari kejadian itu selepas dihubungi guru anaknya yang meminta mengambil pelajar berkenaan dari sekolah jam 12.30 tengah hari.
© New Straits Times Press (M) Bhd




