4 suspek kes dadah pembantu juruterbang Malaysia ditahan selepas lari ke Thailand, Vietnam

safeek@bh.com.my

Kuala Lumpur: Empat daripada enam suspek yang ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berhubung kes penyeludupan dadah membabitkan seorang pembantu juruterbang Malaysia di Indonesia, dikesan melarikan diri ke luar negara selepas mengetahui penahanan lelaki berusia 39 tahun itu.

Keempat-empat suspek terbabit didapati melarikan diri ke Thailand dan Vietnam selepas mengetahui pembantu juruterbang terbabit ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Tangerang, Banten pada 28 Julai lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata, kesemua enam suspek bagaimanapun ditahan antara 20 hingga 28 Ogos lalu.

“Daripada enam suspek yang ditahan, empat daripadanya melarikan diri ke luar negara iaitu dua ke Thailand dan dua lagi ke Vietnam.

“Dua suspek yang melarikan diri ke Thailand ditahan ketika kembali ke Malaysia dengan menaiki feri di Kuah, Langkawi, Kedah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, dua lagi suspek yang melarikan diri ke Vietnam pula ditahan ketika kembali ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas.

“Dua lagi baki suspek masing-masing ditahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Klang, Selangor,” katanya.

Hussein berkata, kesemua suspek berusia antara 23 hingga 50 tahun kini ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya, Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 bagi membantu siasatan lanjut.

Untuk rekod, di bawah Akta Dadah Berbahaya LLPK 1985, pihak polis mempunyai kuasa menahan reman mana-mana suspek selama tempoh 60 hari bagi melengkapkan siasatan sebelum perintah tahanan lanjut dikeluarkan.

Katanya, sebahagian hasil siasatan berkaitan kes berkenaan akan dikongsi dengan pihak Polis Republik Indonesia (Polri) untuk tindakan selanjutnya.

Pembantu juruterbang itu ditahan di Terminal 3 Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten, selepas tiba dari Kuala Lumpur dengan menaiki penerbangan MH727.

Penahanan dibuat kira-kira jam 11.30 malam waktu tempatan selepas pegawai kastam Indonesia mengesan bagasi milik juruterbang itu mencurigakan menerusi imbasan sinar-X, sebelum mengarahkannya ke bilik pemeriksaan sebaik bagasi berkenaan dituntut.

Pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat kira-kira 25 kilogram dalam bagasi itu, selain empat gram syabu dalam barang bawaannya, dengan nilai dianggarkan RM45 juta.

Menurut polis Indonesia, juruterbang itu didakwa dijanjikan bayaran RM50,000 untuk membawa dadah itu ke Jakarta sebelum ia diambil individu lain dari sebuah hotel.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top