4 suspek pecah rumah, langgar polis hingga maut didakwa esok

4 suspek pecah rumah, langgar polis hingga maut didakwa esok

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Empat suspek kes pecah rumah yang ditahan kerana melanggar seorang anggota polis sehingga meninggal dunia akan didakwa di Mahkamah Alor Setar, esok.

Kesemua suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Media sebelum ini melaporkan, seorang anggota polis maut dirempuh penjenayah ketika menjalankan tugas berhampiran Taman Golf di sini, 7 Ogos lalu selepas cuba menghalang suspek kes pecah rumah melarikan diri.

Mangsa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar kenderaan dipandu suspek.

Kesemua suspek, berusia antara 24 hingga 26 tahun, dipercayai berasal dari Johor dan hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai 77 rekod lampau, kebanyakannya membabitkan kes pecah rumah dan curi kenderaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top