am@hmetro.com.my
Melaka: Empat termasuk kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun cedera selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam longkang di Kilometer 205 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Ayer Keroh, hari ini.
Dalam kejadian itu, kereta Toyota Vios dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.26 petang.
Katanya, sebuah jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati terdapat empat mangsa terdiri daripada dua wanita dewasa berusia 30 dan 40 tahun.
“Turut cedera seorang remaja perempuan berusia 14 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun.
“Semua mangsa mengalami kecederaan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




