am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 40 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang tinggal di sebuah rumah di Kampung Baru Muafakat, di sini awal pagi hari ini.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, Ops Sapu menyasarkan kediaman dalam penempatan setinggan itu dan menjadi kawasan tumpuan warga asing.
Katanya, ketika serbuan berlaku, pihak mendapati rumah memiliki banyak bilik, dihuni golongan dewasa serta kanak-kanak.
Menurutnya, menyedari kehadiran pihak berkuasa, terdapat individu yang sedang berehat di dalam rumah cuba melarikan diri dan sesetengahnya bersembunyi bagi mengelak pemeriksaan.
“Bagaimanapun mereka berjaya diberkas dan hasil operasi, 40 warga asing ditahan terdiri daripada 31 lelaki Pakistan, tiga lelaki Myanmar, dua wanita Indonesia dan dua wanita Myanmar.
“Turut ditahan masing-masing seorang kanak-kanak lelaki Myanmar dan kanak-kanak perempuan Indonesia. Kesemuanya dipercayai menghuni rumah berkenaan sejak dua bulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rusdi berkata, semua warga asing antara dua hingga 59 tahun itu didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal lebih masa.
Katanya, tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.
© New Straits Times Press (M) Bhd




