40 peratus hak Sabah: PM tempelak segelintir pemimpin politik Sabah terus salahkan kerajaan Pusat

40 peratus hak Sabah: PM tempelak segelintir pemimpin politik Sabah terus salahkan kerajaan Pusat

Kota Kinabalu: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menempelak sikap segelintir pemimpin politik di Sabah kerana terus menyalahkan kerajaan Pusat dalam isu pemberian 40 peratus hak negeri.

Perdana Menteri sebaliknya menegaskan, ketika pemimpin mereka berada dalam kerajaan, malah kerajaan sebelumnya lagi, kenyataan dikeluarkan tidaklah sekeras seperti hari ini.

“Tetapi (sekarang ini) kita kena marah, semua tak betul, yang dulu semasa dia dalam kerajaan, ini orang cakap banyak-banyak. Ini dulu Timbalan Ketua Menteri, menteri puluh tahun, kamu tak cakap hal ini.

“(Sekarang) kami sedang lakukannya (penuhi komitmen 40 peratus hak Sabah). Dulu masa kamu menteri, ketua menteri, dulu berapa bagi? RM50 juta, sekarang kita bagi RM600 juta, (tapi dianggap) kita salah, dia betul,” katanya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika hadir majlis makan malam bersama komuniti Cina di Kampung Padang, di sini malam ini.

Sebelum ini, bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, mempertikai keputusan kerajaan merayu kepada keputusan mahkamah berkaitan isu 40 peratus pemberiakan kepada Sabah.

Selain itu, pemimpin UPKO sebelum ini juga pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah, selain Menteri Kabinet pada pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Anwar sekali lagi menegaskan, keputusan kerajaan merayu keputusan mahkamah sebelum ini sama sekali tiada kaitan dengan hal 40 peratus pemberian kerajaan Persekutuan kepada negeri itu.

“Ada orang lain ‘complain’ (mengadu) lagi, kita sudah merdeka berapa lama? Ini kali pertama Kabinet kata, yes (ya). 40 peratus itu hak Sabah, ‘no argument’ (tiada pertikaian), hari Isnin (ini) jalan mesyuarat.

“Ada orang cakap, tapi dia rayu, dia masih rayu lagi.. eh bacalah. Peguam Negara kata rayu lain punya kes, 40 peratus tiada rayuan.

“Kita sudah bincang dalam Kabinet. Saya cakap di Parlimen, bincang dalam Kabinet, masih hentam lagi.

“Mahu kerja dengan orang macam ini lagikah, semua tak betul. Kita tak rayu, kita mahu bagi 40 peratus, Kabinet sudah putus. Saya sudah cakap dalam Parlimen, sudah buat surat rayuan, tapi masih tak suka kita. Apa boleh bikin,” katanya.

Anwar berkata, kes rayuan yang dibuat Peguam Negara turut tertakluk kepada keputusan lampau, termasuk ketika era Allahyarham Tun Abdul Razak, Tun Donald Stephens dan Tun Datu Mustapha Datu Harun.

“Kita rayu sebab ada hal lain, dia (mahkamah) cakap kita buat kerja dari zaman Tun Razak, Donald Stephens, Tun Mustapha, dia tak ikut Perlembagaan. Jadi kita mahu betulkan itu, 40 peratus selesai, kita (memang) bagi.

“Tapi dia kata dulu Anwar sebut RM17 bilion. Saya jawab macam ini, 40 peratus ‘yes’. Tapi jangan kata kami tak lakukan apa-apa. Saya minta kawan-kawan Sabah anggap kita ini kawan, bukan mahu lawan,” katanya.

Anwar berkata, peruntukan RM17 bilion yang diberi kerajaan kepada Sabah, antara yang tertinggi dan ia digunakan untuk memanfaatkan kemudahan asas rakyat.

“Kita bagi RM17 bilion, tertinggi di negara ini. Untuk apa? air, elektrik, banjir, jalan, sekolah. Beberapa bulan lepas saya luluskan maktab perguruan. Tambah baik Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Tawau, itu kerja kita, kita buat,” katanya.

Terdahulu ketika memulakan ucapan pada majlis itu, Anwar menyeru pengundi Sabah supaya memilih pemimpin yang kuat bekerja dan sentiasa fokus dalam membangunkan ekonomi serta menarik pelaburan ke negeri ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top