4,000 hingga 5,000 jemaah iftar di Masjid TNB setiap hari

4,000 hingga 5,000 jemaah iftar di Masjid TNB setiap hari

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sekitar 4,000 hingga 5,000 jemaah dianggarkan berkunjung ke Balai Islam Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau Masjid TNB di Bangsar, di sini, setiap hari bagi berbuka puasa bersama keluarga dan rakan.

Meskipun menerima jumlah jemaah yang ramai, jawatankuasa masjid berkenaan berjaya memastikan kesemua jemaah mendapat makanan mencukupi dan ruang berbuka puasa yang selesa di samping sukarelawan yang mesra membantu pergerakan setiap pengunjung di pintu masuk masjid.

Hospitaliti cemerlang ditonjolkan jawatankuasa berkenaan menerima pujian ramai jemaah sehingga tular di media sosial.

Berikutan itu, lebih ramai umat Islam dari sekitar Lembah Klang sanggup meredah kesesakan lalu lintas pada sebelah petang demi merasai sendiri keseronokan iftar di lokasi hangat trend ‘masjid hopping’ itu.

Penuntut Universiti Multimedia (MMU), Adam Zharif Zaizul Jamil, 20, berkata, ini kali pertama dia berkunjung ke masjid berkenaan selepas tertarik dengan perkongsian tular di media sosial, khususnya TikTok.

Menurutnya, dia bersama rakan sekuliah bertolak dari Cyberjaya seawal jam 4 petang dengan menaiki kereta semata-mata untuk merasai pengalaman berbuka puasa di masjid itu.

“Bila tengok ramai orang tularkan masjid ini di media sosial, saya rasa Masjid TNB antara yang paling meriah, jadi saya teringin nak cuba sendiri berbuka puasa di sini.

“Saya juga minat seni bina, jadi bila tengok reka bentuk masjid ini yang unik dengan kubah serta hiasan dalamannya, saya rasa tertarik untuk datang. Memang estetik dan ‘Instagramable’,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Adam berkata, suasana meriah dengan kehadiran ramai golongan muda sepertinya juga memberi pengalaman berbeza dan membuatkan dia lebih teruja untuk datang.

“Saya rasa ini pendekatan yang bagus sebab ramai anak muda datang memeriahkan masjid.

“Secara tak langsung ia dapat merapatkan ukhuwah dan kita sama-sama mencari pahala di bulan Ramadan,” katanya.

Rakannya, Ahmad Hafriz Mohd Aidi, 22, berkata dia turut mengetahui mengenai masjid berkenaan hasil cadangan orang ramai yang memuji kemesraan pengurusan terhadap jemaah.

Menurutnya, penyediaan hidangan berbuka yang mencukupi juga memberi peluang kepada pelajar seperti mereka untuk berbuka puasa bersama tanpa perlu risau mengenai kos makanan.

“Kadang-kadang ada pelajar yang kewangannya terhad untuk berbuka di luar, jadi masjid seperti ini memberi peluang kepada kami untuk berbuka bersama-sama.

“Selain itu, reka bentuk masjid ini juga menarik perhatian. Jika dilihat dari luar, struktur kubah dan bumbungnya yang berbentuk seakan ombak memang unik dan tidak banyak masjid mempunyai reka bentuk seperti ini,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Nurul Hidayah Salleh, 34, yang datang bersama suaminya, Mohd Faizal Rahman, 36, berkata, mereka teruja melihat pengurusan masjid yang teratur walaupun menerima kehadiran jemaah yang ramai setiap hari.

Menurut Nurul Hidayah, mereka yang menetap di Petaling Jaya sanggup datang lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan merasai sendiri pengalaman berbuka puasa di masjid berkenaan.

“Memang kagum tengok bagaimana pihak masjid menguruskan ribuan jemaah dengan begitu baik. Sukarelawan pun sangat membantu dan mesra,” katanya.

Mohd Faizal pula berkata, suasana harmoni serta kemudahan yang disediakan menjadikan masjid berkenaan antara lokasi iftar yang wajar dikunjungi sepanjang Ramadan.

“Walaupun ramai orang, semuanya berjalan lancar. Ruang makan luas dan makanan pun mencukupi.

“Bagi saya, usaha jawatankuasa masjid ini memang patut dipuji kerana berjaya mewujudkan suasana berbuka puasa yang selesa dan meriah untuk semua,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top