400,000 gelen air radioaktif bocor dari loji nuklear Monticello

400,000 gelen air radioaktif bocor dari loji nuklear Monticello

WASHINGTON – Kira-kira 400,000 gelen air radioaktif telah bocor dari loji tenaga nuklear di Monticello, di negeri Minnesota, dedah pengawal selia baru-baru ini.

Agensi Kawalan Pencemaran Minnesota (MPCA) dalam minggu lalu berkata, agensi negeri sedang memantau usaha Xcel Energy untuk membersihkan “pelepasan air yang tercemar dengan tritium” yang dikesan di loji penjanaan nuklear Monticello syarikat itu.

Xcel Energy melaporkan kebocoran kepada Pegawai Tugas Minnesota dan Suruhanjaya Kawal Selia Nuklear Amerika Syarikat (AS)pada akhir November 2022 selepas menemui keputusan luar biasa semasa pemantauan air bawah tanah rutin.

Kelewatan selama empat bulan dalam membuat pengumuman kebocoran air radioaktif telah mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan dan ketelusan awam.

MPCA dalam kenyataan berkata, kebocoran telah dihentikan dan tidak sampai ke Sungai Mississippi atau sumber air minuman yang tercemar.

Tiada bukti pada masa ini untuk menunjukkan risiko kepada mana-mana telaga air minuman di sekitar loji itu, kata kenyataan tersebut.

Tritium ialah bentuk radioaktif hidrogen semulajadi yang dihasilkan di atmosfera.

Ia terhasil daripada pengeluaran elektrik oleh loji kuasa nuklear.

Xcel Energy berkata, kebocoran itu berpunca daripada paip air yang mengalir di antara dua bangunan di kemudahan Monticellonya dan telah dihentikan.

“Kami sedang berusaha untuk memastikan pembersihan ini diselesaikan dengan sebaik mungkin dengan risiko minimum atau tiada risiko terhadap bekalan air minuman,” kata Kirk Koudelka, Penolong Pesuruhjaya MPCA bagi inisiatif tanah dan strategik.

Xcel Energy dikatakan sedang membina tangki simpanan di atas tanah atau memasang kolam penahan untuk menyimpan air mengandungi tritium yang telah dikumpulkan semasa aktiviti pemulihan sedang dijalankan. – Agensi