41 kios JPJ di Sabah, Sarawak bagi pembaharuan lesen LKM

41 kios JPJ di Sabah, Sarawak bagi pembaharuan lesen LKM

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemilik kenderaan di Sabah dan Sarawak boleh memperbaharui cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) di 41 kios JPJ bagi urusan kenderaan persendirian bermula esok.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pembaharuan LKM di kiosk berkenaan bagi kenderaan persendirian individu yang didaftarkan mulai tahun 2020 dan ke atas sahaja.

“Bagi kenderaan persendirian individu yang didaftarkan sebelum tahun 2020, pemilik kenderaan atau wakil boleh mendapatkan perkhidmatan di kaunter JPJ.

“Selain itu, pembaharuan LKM juga boleh dilakukan menerusi aplikasi MyJPJ, portal mySIKAP JPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile dan Rakan Niaga JPJ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemilik diingatkan untuk memastikan perlindungan insurans kenderaan sudah dihidupkan dan berkuatkuasa sebelum memperbaharui LKM.

Katanya, inisiatif itu antara inisiatif JPJ bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta memberi kemudahan kepada orang ramai melalui digitalisasi urusniaga.

“Menerusi penggunaan kios layan diri ini, pengguna dapat melaksanakan urus niaga pembaharuan LKM secara kendiri dan pantas tanpa perlu beratur di kaunter.

“JPJ komited untuk terus memperluas akses kepada perkhidmatan digital demi kemudahan rakyat dan sejajar dengan aspirasi transformasi perkhidmatan awam ke arah pendigitalan secara menyeluruh,”katanya.

Menurutnya antara lokasi terbabit adalah JPJ Sabah, Labuan, Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Beaufort, Keningngau, Kudat, UTC Kota Kinabalu, UTC Tawau dan UTC Keningau.

Sementara di Sarawak di JPJ Negeri Sarawak, Sibu, Miri, Bintulu, Serian, Sarikei, Lawas, UTC Kuching, UTC Sibu dan UTC Miri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top