41 penerima bantuan bulanan JKM, penghuni RSK ditaja menunaikan umrah

41 penerima bantuan bulanan JKM, penghuni RSK ditaja menunaikan umrah

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Sepang: Seramai 41 klien Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terdiri daripada penerima bantuan bulanan dan penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) diberi peluang ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah bermula hari ini hingga 30 Mac nanti hasil tajaan syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd.

Kesemua yang terpilih itu berusia antara 65 hingga 79 tahun dan akan diiringi empat pegawai JKM sepanjang berada di Tanah Suci.

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd atas kesudian menaja program dikenali ‘CSR Umrah Asnaf JKM’ pada tahun ini.

“Ini kali ketika syarikat itu memberi tajaan selepas kejayaan penganjuran pada 2018 dan 2019.

“Tajaan seperti ini amat bermakna dalam memberi peluang kepada golongan yang kurang berkemampuan untuk menunaikan umrah, di samping mencerminkan keprihatinan sektor swasta terhadap kebajikan masyarakat.

“Usaha murni itu juga diharap dapat diteruskan pada masa hadapan supaya lebih ramai individu berpeluang merasai pengalaman spiritual yang amat berharga ini,” katanya ketika sesi perjumpaan yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi hari ini.

Hadir sama Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd Ida Riswana Idris, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tous Sdn Bhd Datuk Md Daud Che Ngah serta beberapa pegawai kanan JKM.

Dalam ucapannya, Che Murad Sayang turut menasihatkan jemaah dan pegawai pengiring supaya sentiasa menjaga kesihatan diri serta mengutamakan aspek keselamatan sepanjang berada di Tanah Suci khususnya di Makkah dan Madinah.

Beliau juga mengingatkan jemaah supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk memperbanyakkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Che Murad Sayang turut mendoakan semua jemaah dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan sepanjang perjalanan, serta mendapat umrah yang mabrur selain selamat kembali ke tanah air dengan penuh keberkatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top