KUALA KEDAH: Lebih 4,200 botol plastik terbuang yang dikutip dari pantai dijadikan replika Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) setinggi 6.2 meter oleh penduduk Kampung Sungai Papan, Mukim Tebengau, di sini.
Ketua Komuniti Kampung Sungai Papan, Azhar Mohamad Noh, 55, berkata, idea menghasilkan replika itu tercetus berikutan lambakan botol plastik yang terdampar di pantai.
Penduduk bergotong-royong mengumpulkan botol dan menyediakan bahan sebelum membina replika itu sempena Hari Kebangsaan 2026.
“Binaan ini mengambil masa 15 hari dengan kos RM1,000 yang ditampung menerusi sumbangan penduduk.
“Ia menggunakan 80 peratus bahan kitar semula dengan 30 penduduk bergotong-royong menyiapkannya,” katanya ketika ditemui di kampung itu, semalam.
Nelayan, Hamzah Hamid, 55, berkata, idea menggunakan botol itu tercetus kerana tidak mahu bahan berkenaan mencemarkan pantai.
“Mengutip botol dilakukan secara bergotong-royong dengan kira-kira empat hingga enam penduduk turun mengutip pada hari biasa, manakala jumlahnya bertambah pada setiap Jumaat,” katanya.
Penduduk, Rosnita Md. Yunus, 52, berkata, wanita menghasilkan bunga raya sebagai pelengkap replika itu yang siap dalam tempoh dua hari.
“Usaha ini menjadi identiti Kampung Sungai Papan, pada masa sama mengeratkan hubungan penduduk,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Tebengau, Muhammad Azzamuddin Ahmad berkata, usaha itu wajar dicontohi kampung lain kerana mengetengahkan kreativiti dan menyemarakkan semangat patriotisme. – UTUSAN


