am@hmetro.com.my
Bangi: Sebanyak 32,178 kenderaan perdagangan diperiksa bermula Isnin lalu sehingga semalam menerusi Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di seluruh negara.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, daripada jumlah itu 4,233 diambil tindakan, 16 disita dan 8,701 dikenakan notis.
Menurutnya, JPJ mengambil tindakan serius terhadap beberapa siri kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya membabitkan kenderaan perdagangan.
Katanya, sepanjang empat hari, operasi berjalan lancar tanpa gangguan mana-mana pihak termasuk tonto dan pemandu.
“JPJ turut menahan tujuh pemandu positif dadah selepas 38 individu diarah menjalani ujian air kencing yang dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya ketika menyertai operasi di Jalan Semenyih-Bangi hari ini.
Operasi Khas Kenderaan Perdagangan bermula 1 hingga 31 Oktober ini dilakukan bagi memastikan tahap pematuhan peraturan keselamatan jalan raya yang lebih tinggi.
Ia turut disertai Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan AADK.
Aedy Fadly berkata, ujian air kencing pemandu positif dadah itu akan diadakan kali kedua di Makmal Kimia dan sekiranya positif, dia akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk digantung lesen.
Menurutnya, kenderaan yang dipandu individu positif dadah itu turut disita untuk tindakan lanjut.
Katanya, fokus utama operasi bertujuan mengenakan tindakan tegas terhadap pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
“Pihak JPJ ingin menegaskan kepada semua pemandu kenderaan perdagangan supaya sentiasa bertanggungjawab untuk mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan semua pengguna di samping meminimumkan kadar kemalangan, kecederaan parah dan kematian serta mengurangkan kesesakan jalan raya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd