harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 4,250 pek makanan sedia dimakan diagihkan kepada kira-kira 1,500 mangsa banjir di Kelantan hasil sumbangan Kumpulan Brahim’s Dewina (Brahim’s) menerusi Food Aid Foundation.
Pengurus Besar Food Aid Foundation Afraz Said berkata, pihak Brahim’s menyumbangkan pes masakan antaranya pes asam pedas, pes masak merah dan pes rendang bagi membantu penyediaan makanan panas kepada mangsa banjir.
“Pes-pes berkualiti tinggi dan sedia digunakan ini, bersama sumbangan dari penaja lain, memastikan kami dapat memenuhi keperluan mendesak mangsa banjir pada masa yang kritikal ini.
“Sehingga kini, kami sudah menyediakan dan mengedarkan lebih 4,250 pek makanan panas menggunakan kombinasi pes tajaan dan bahan segar.
“Lebih 1,500 beg makanan yang mengandungi hidangan sedia dimakan Brahim’s seperti bubur lambuk, mi goreng ayam, nasi goreng ayam, sardin, bubur ayam, nasi goreng pedas, dan air mineral Brahim’s,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, antara kawasan terjejas yang menerima bantuan termasuk Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Pengkalan Chepa, dan terutamanya Kuala Krai.
Katanya, kawasan terbabit lokasi terjejas teruk yang memerlukan bantuan makanan yang berkhasiat terutama ketika menempuh cabaran banjir.
“Produk Brahim’s amat memudahkan dalam usaha bantuan ini, terutamanya pes-pes yang sedia digunakan, yang membolehkan kami menyediakan makanan dalam kuantiti besar dengan cepat tanpa menjejaskan rasa.
“Sumbangan mereka, bersama sokongan dari penaja lain, memainkan peranan penting dalam memastikan kami dapat bertindak pantas dan berkesan bagi memenuhi keperluan mangsa banjir,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s Dewina berkata, inisiatif bantuan banjir ini memperlihatkan kepentingan kerjasama antara organisasi dalam memberi bantuan bencana.
© New Straits Times Press (M) Bhd




