45 restoran tomyam di Alor Setar, Pokok Sena dikesan beroperasi tanpa lesen

45 restoran tomyam di Alor Setar, Pokok Sena dikesan beroperasi tanpa lesen

Alor Setar: Sebanyak 45 premis restoran tomyam di sekitar bandar raya ini dan Pokok Sena dikesan beroperasi tanpa lesen menerusi Ops Tomyam yang dijalankan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) pada 14 dan 17 Februari lalu.

Datuk Bandar Alor Setar Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, dalam operasi itu, pihaknya memeriksa 64 premis dan mendapati 70.3 peratus daripadanya beroperasi tanpa lesen, manakala 19 premis atau 29.7 peratus mempunyai lesen sah.

Beliau berkata, sebanyak 145 kompaun dan lima notis dikeluarkan terhadap premis yang diperiksa atas pelbagai kesalahan termasuk beroperasi tanpa lesen serta mempamerkan iklan tanpa kelulusan.

“Selain itu, kompaun turut dikeluarkan berikutan tahap kebersihan yang tidak memuaskan selain kegagalan menyediakan kad suntikan tifoid dan sijil pengendali makanan.

“MBAS memandang serius isu ketidakpatuhan dalam kalangan pengusaha restoran tomyam yang dilihat masih gagal mematuhi syarat ditetapkan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pemilik gerai tempatan supaya tidak menyalahgunakan lesen dengan menyewakannya kepada warganegara asing.

Abdul Gafar berkata, semua pengusaha premis makanan, termasuk restoran tomyam, perlu segera mengemukakan permohonan lesen kepada MBAS bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.

Beliau berkata, MBAS akan mengadakan perjumpaan dengan semua peniaga pada minggu hadapan bagi mendapatkan maklumat berkaitan status visa pekerja asing serta memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top