4,518 pegawai perubatan kontrak ditawar lantikan tetap

4,518 pegawai perubatan kontrak ditawar lantikan tetap

ercy.gracella@bh.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 4,518 pegawai perubatan kontrak ditawarkan lantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) setakat 31 Disember lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,316 (29 peratus) pegawai perubatan kontrak bersetuju menerima tawaran bagi mengisi kekosongan di Sabah dan Sarawak.

Katanya, jumlah berkenaan meliputi penempatan seramai 548 orang di Sabah dan 768 lagi di Sarawak.

“Bagi jururawat, KKM diberikan pengecualian lantikan kontrak interim dan boleh melantik secara tetap jururawat mulai 2025.

“Sehingga 31 Disember 2025, seramai 3,254 jururawat dalam kalangan pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM), graduan institut pengajian tinggi awam/swasta (IPTA/S) dan Jururawat Masyarakat Program Peningkatan Secara Lantikan (PSL) dilantik secara tetap.

“Daripada jumlah ini, seramai 415 jururawat ditempatkan di Sabah manakala 260 orang di Sarawak,” katanya.

Beliau menjawab soalan Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang ingin tahu secara terperinci jumlah pekerja kesihatan (doktor dan jururawat) yang sudah mendapat penempatan tetap pada tahun ini.

Selain itu, Yii juga ingin tahu jumlah kakitangan perubatan yang ditempatkan di Sabah dan Sarawak serta sudah menerima penempatan.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, pengisian jururawat di Sabah dan Sarawak turut dilaksanakan menerusi penempatan semula jururawat berpengalaman dari Sabah dan Sarawak yang sedang berkhidmat di Semenanjung ke fasiliti KKM di negeri berkenaan.

“Justeru itu, seramai 131 Jururawat sudah diluluskan pertukaran ke Sabah dan 104 ke Sarawak.

“Usaha ini dibuat bagi memberi peluang kepada jururawat berpengalaman berasal dari Sabah dan Sarawak ini untuk kembali berkhidmat di wilayah asal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top