am@hmetro.com.my
Shah Alam: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM2.73 juta untuk bantuan sewa rumah kepada 455 keluarga yang terkesan dalam insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, awal bulan ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah terbabit menunjukkan peningkatan berbanding 396 keluarga yang dimuktamadkan sebelum ini selepas siasatan dilakukan.
“Mereka akan menerima bantuan sebanyak RM6,000 bagi sewaan tiga bulan, dan bagi tiga bulan selepas ini akan diberikan kepada mereka yang memerlukan pada Julai atau Ogos depan.
“Peruntukan sebanyak RM2.37 juta akan disalurkan kepada setiap keluarga untuk kos sewaan rumah mereka ke dalam akaun bank masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan Bantuan Sewa Rumah Mangsa Insiden Kebakaran Paip Gas Putra Heights, di sini, hari ini.
Katanya, seramai 214 keluarga sudah dibantu setakat ini dengan selebihnya sedang menunggu pengesahan akaun bank, kad pengenalan dan dokumen berkaitan.
“Kita tetapkan dahulu untuk enam bulan ini kerana selepas itu, kita percaya hampir 60 ke 70 peratus akan kembali ke kediaman mereka.
“Bagaimanapun, kerajaan negeri menyatakan komitmen untuk menanggung sewa mereka selama enam bulan seterusnya atau setahun lagi bagi yang memerlukan (mangsa yang memerlukan pembinaan semula rumah),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd